Berkahwin dengan kaum keluarga terdekat yang bukan mahram seperti sepupu dan seumpamanya adalah antara perkara yang dibenarkan oleh Allah swt sebagaimana firman Allah setelah menerangkan wanita-wanita yang diharamkan berkahwin dalam ayat 24 surah al-Nisa’ yang bermaksud:
“Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu…” Juga firmanNya dalam surah al-Ahzab ayat 50 yang bermaksud: “…dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu…”
Hukum Kahwin Sepupu Dalam Islam, Boleh Atau Tidak?
Istilah sepupu digunakan bagi menunjukkan perhubungan antara seseorang itu dengan anak kepada bapa/ibu saudaranya. Dengan kata lain, anak-anak kepada dua (atau lebih) orang yang bersaudara. ‘Bersaudara’ bermaksud mempunyai ibu dan/atau bapa yang sama.
Tiada perselisihan tentang hukum boleh berkahwin dengan mereka, cuma para ulama berselisih pandangan tentang hukum boleh tersebut. Ada yang mengatakan boleh tetapi makruh seperti pandangan mazhab Syafie dan Hanbali. Ada yang mengatakan harus (boleh), seperti pandangan mazhab Maliki dan ada yang mengatakan sunat seperti pandangan mazhab Zahiri.
Pendapat kedua (yang mengatakan hukum berkahwin dengan mereka boleh atau harus) lebih rajih (kuat) berdasarkan dalil-dalil berikut:
- 1. Firman Allah swt dalam surah al-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “…maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari kalangan perempuan…”
- 2. Rasulullah saw sendiri berkahwin dengan sepupu baginda yang bernama Zainab, bahkan baginda sendiri mengahwinkan anak perempuan baginda Umm Kulthum dan Ruqayyah dengan ‘Utbah dan ‘Utaybah yang kedua-duanya adalah sepupu kepada anak-anak perempuan baginda, serta baginda juga mengahwinkan Fatimah dengan Ali (Ali adalah sepupu baginda).
Oleh itu tidak berbangkit masalah wali dan waris jika berlaku perkahwinan di antara sepupu, kerana perkahwinan itu sendiri adalah dibenarkan oleh Allah swt bahkan dilakukan sendiri oleh Rasulullah SAW.
Mungkin ada yang mengatakan perkahwinan dengan keluarga terdekat seperti sepupu akan menyebabkan berlaku kecacatan pada anak yang bakal dilahirkan. Namun dakwaan ini tidaklah boleh diterima secara mutlak, kerana banyak kajian-kajian perubatan yang dijalankan mutakhir ini menunjukkan risiko untuk mendapat anak yang cacat atau mempunyai penyakit warisan hanya pada nisbah 7-8 peratus sahaja bagi suami dan isteri yang terdiri daripada keluarga terdekat, manakala risiko yang sama hanya pada kadar 5 peratus sahaja jika suami dan isteri bukan terdiri daripada keluarga terdekat.
Kajian-kajian tersebut membuat kesimpulan bahawa tidaklah boleh untuk menghalang daripada berlakunya perkahwinan di kalangan keluarga terdekat, sebaliknya mereka hendaklah dinasihatkan menjalankan pemeriksaan perubatan terlebih dahulu sebelum melangsungkan perkahwinan bagi mengenal pasti penyakit yang mungkin diperolehi oleh anak yang bakal dilahirkan. Tambahan pula, perkahwinan di antara keluarga terdekat juga turut mempunyai sudut-sudut yang positif, seperti mengekalkan sifat-sifat istimewa tertentu yang terdapat dalam sesebuah keluarga seperti pintar, kuat, cantik dan sebagainya.
Pada ketika itu, perkahwinan dengan keluarga terdekat adalah lebih baik daripada perkahwinan dengan orang yang jauh kerana sesuatu keluarga itu akan terus mengekalkan sifat-sifat baik tersebut.
Kesimpulan
Perkahwinan dengan keluarga terdekat seperti sepupu adalah halal dan dibolehkan secara mutlak, dan tidak ada kemudaratan yang berterusan padanya. Tidak mungkin Allah membolehkan sesuatu secara berterusan dan mutlak, kemudian perkara itu mempunyai kemudaratan umum terhadap manusia.
Wallahu a’lam.
<MUIS>
Pertalian Yang Melarang Perkahwinan
(1) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab nasab, berkahwin dengan—
(a) ibunya atau bapanya;
(b) neneknya atau datuknya hingga ke atas, sama ada dari sebelah bapa atau dari sebelah ibu;
(c) anak perempuannya atau anak lelakinya dan cucu perempuannya atau cucu lelakinya hingga ke bawah;
(d) saudara perempuan atau saudara lelaki seibu sebapa, saudara perempuan atau saudara lelaki sebapa, dan saudara
perempuan atau saudara lelaki seibu;
(e) anak perempuan atau anak lelaki kepada saudara lelaki atau saudara perempuan hingga ke bawah;
(f) ibu saudara atau bapa saudara sebelah bapanya hingga ke atas; dan
(g) ibu saudara atau bapa saudara sebelah ibunya hingga ke atas.
(2) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab pertalian kahwin, berkahwin dengan—
(a) ibu mertuanya atau bapa mertuanya hingga ke atas;
(b) ibu tirinya atau bapa tirinya, iaitu isteri bapanya atau suami ibunya;
(c) nenek tirinya atau datuk tirinya , iaitu isteri kepada datuknya atau suami kepada neneknya, sama ada dari sebelah bapa atau sebelah ibu;
(d) menantunya, lelaki atau perempuannya; dan
(e) anak perempuan tirinya atau anak lelaki tirinya hingga ke bawah daripada isteri atau suami yang perkahwinan telah disatukan.
(3) Tiada seseorang lelaki atau perempuan, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh, oleh sebab sesusuan, berkahwin dengan seseorang perempuan atau lelaki yang ada hubungan dengannya melalui penyusuan di mana, jika hubungan itu adalah melalui kelahiran dan bukan melalui penyusuan, perempuan atau lelaki itu tetap dilarang berkahwin dengannya oleh sebab nasab atau pertalian kahwin.
(4) Tiada seseorang lelaki boleh mempunyai lebih dari satu isteri pada satu masa jika isteri-isteri itu adalah bertalian antara satu sama lain melalui nasab, pertalian kahwin, atau sesusuan yang mana perkahwinan antara mereka tidak sah mengikut Hukum Syarak.