Panduan terkini dikemaskini pada

Kepentingan Menjaga Kebersihan Persekitaran Kawasan Sekolah

Dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, pelajar akan diuji penguasaan bahasa serta pengetahuan am masing-masing dalam penulisan karangan. Oleh itu, pelajar hendaklah sentiasa melakukan ulangkaji tema dan tajuk yang berpotensi untuk menjadi soalan pilihan karangan Bahasa Melayu. Sebagai rujukan buat pelajar, di bawah dikongsikan contoh karangan berkenaan kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekolah.

Sekolah merupakan kawasan di mana pelajar banyak menghabiskan masa sepanjang hari. Justeru, pelajar seharusnya mendapati soalan yang berkaitan sekolah adalah mudah untuk dijawab kerana setiap isi penting dan huraian boleh difikirkan oleh pelajar. Bagi menambah elemen yang menarik, pelajar boleh menggunakan peribahasa atau frasa-frasa yang berkaitan dengan huraian pelajar.

kepentingan menjaga kebersihan persekitaran sekolah

Cara-Cara Menjaga Kebersihan Kawasan Sekolah

Isi-isi penting

  • Mewujudkan suasana yang kondusif
  • Menghindari ancaman penyakit
  • Memberi ruang kepada aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah
  • Membentuk disiplin murid-murid
  • Mengharumkan nama sekolah
  • Menjadi contoh kepada institusi awam yang lain

Contoh Karangan Kepentingan Menjaga Kebersihan Kawasan Sekolah

Pendahuluan

Persekitaran yang bersih dan sihat adalah tanggungjawab bersama. Slogan yang acapkali dikeudarakan di siaran radio dan televisyen sebagai pesanan khidmat masyarakat tidak meninggalkan kesan yang mendalam kepada pendengar dan penonton. Persekitaran yang sihat adalah persekitaran yang bebas daripada unsur-unsur yang membahayakan kesihatan. Manakala persekitaran yang bersih akan memberikan seribu satu manfaat kepada semua yang mendiami atau menggunakan kawasan tersebut. Umum sedia maklum, sekolah merupakan institusi ulung dalam mendidik generasi yang bakal menggantikan pemimpin di masa hadapan. Sekolah juga merupakan tempat menimba ilmu yang bakal membentuk keperibadian masyarakat yang lebih baik berbanding masyarakat konvensional masa kini. Justeru, sekolah merupakan antara kawasan yang perlu dijamin kebersihannya. Wajar untuk kita bincangkan apakah kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekolah demi kemaslahatan semua pihak.

Isi 1

Antara kepentingan menjaga kebersihan kawasan sekolah supaya ia mewujudkan suasana yang kondusif kepada semua warga sekolah. Proses pengajaran dan pembelajaran memerlukan suasana yang bersih dan selesa agar pelajar serta guru dapat memberikan perhatian yang penuh di dalam kelas. Cuba anda bayangkan ketika di dalam kelas, anda terhidu bau sampah-sarap yang busuk yang tidak dibuang atau diuruskan dengan betul, pastinya ia akan mengganggu fokus yang diperlukan di bilik darjah. Oleh itu, menjaga kebersihan kawasan sekolah dengan membuang dan mengurus sampah dengan baik serta menambah keceriaan di sekeliling bangunan sekolah pasti akan menarik minat para pelajar khususnya untuk hadir dan menumpukan perhatian ketika sesi persekolahan berlangsung. Intihannya, persekitaran yang bersih dapat memberikan ketenangan kepada pelajar dan juga guru untuk menjalankan proses pembelajaran kerana menguasai ilmu diibaratkan seperti laut ditimba tidak akan kering.

Isi 2

Pada waktu yang sama, menjaga kebersihan kawasan sekolah dapat menghindari warganya daripada ancaman penyakit. Menurut data daripada Organisasi Kesihatan Dunia (WHO), lebih 8 juta daripada 12 juta kematian di dunia berlaku akibat pencemaran berlaku daripada kawasan persekitaran. Di Malaysia pula, endemik demam denggi yang dibawa oleh nyamuk aedes semakin menjadi-jadi dan mengancam kesihatan masyarakat setempat. Makanya, penting untuk setiap pihak memastikan kawasan sekolah sentiasa dalam keadaan bersih kerana pelajar merupakan anak-anak muda yang berharga kepada keluarga, masyarakat dan negara. Pihak sekolah seharusnya menganjurkan aktiviti bergotong-royong secara berkala sebagai langkah menjamin kebersihan di kawasan sekolah kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Izharnya, kebersihan merupakan elemen penting yang menjamin kesihatan diri serta masyarakat di sekeliling kita agar setiap di antara kita mendapat kehidupan yang sejahtera dan sentosa.

Isi 3

Di samping itu, kebersihan kawasan sekolah dapat memberi ruang kepada aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah untuk dilaksanakan oleh guru-guru. Lain dahulu, lain sekarang merupakan perumpamaan yang menunjukkan perbezaan generasi masa kini dengan generasi terdahulu. Pendekatan yang digunakan untuk mendidik anak-anak seharusnya berbeza dan mereka lebih gemar mempelajari sesuatu secara interaktif. Sebagai contoh, pembelajaran subjek sains atau geografi dilakukan di bawah rimbunan pokok di kawasan sekolah. Dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa, pelajar dapat merasakan suasana yang berlainan dalam memahami subjek yang diajar oleh guru-guru. Persis peribahasa melayu, kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Selain itu, aktiviti kokurikulum serta pendidikan jasmani dan kesihatan dapat dijalankan tanpa sebarang gangguan apabila sekolah mempunyai kawasan persekitaran yang bersih dan selamat. Natijahnya, guru-guru dapat merealisasikan corak pembelajaran yang berbeza dan pelajar akan menikmati pembelajaran yang interaktif dan berkesan kepada mereka.

Isi 4

Akhir sekali, menjaga kebersihan kawasan sekolah adalah mustahak supaya dapat membentuk disiplin murid-murid. Hal ini demikian kerana pelajar akan diberi tugasan membersihkan kawasan kelas masing-masing mengikut jadual yang ditetapkan. Sebagai contoh, pada hari Isnin, Ali dan Kumar menyapu sampah manakala Tan akan membuang sampah ke rumah sampah yang disediakan. Langkah ini adalah baik bagi membentuk disiplin para pelajar kerana mereka perlu menjalankan tugas pada masa dan waktu yang ditetapkan. Secara tidak langsung, pelajar akan menepati masa dan terbiasa dengan rutin menjaga kebersihan kawasan persikitaran mereka. Ibarat peribahasa Melayu, alah bisa tegal biasa yang bermaksud sesuatu pekerjaan yang dirasakan rumit atau sukar akan menjadi mudah jika sering dilakukan oleh kita.  Kesannya, pelajar akan dipupuk nilai-nilai murni yang lain seperti menepati masa dan menyiapkan tugasan dengan baik apabila menjaga kebersihan sekolah diutamakan.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kepentingan yang diperoleh sekiranya kebersihan kawasan sekolah dilaksanakan dengan jayanya. Setiap pihak terutamanya ibu dan bapa hendaklah membantu para guru dalam menggerakkan inisiatif dalam menjamin kebersihan kawasan sekolah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di setiap sekolah seharusnya memainkan peranan penting dalam mencari mekanisme dan sinergi supaya kebajikan anak-anak disekolah terjamin. Pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa berusaha menambah baik infrastruktur di sekolah beserta tindakan menyelenggara kemudahan yang disediakan di sekolah. Nescaya dengan memberi peruntukan dan perhatian kepada sekolah, institusi pendidikan negara akan melahirkan bukan sahaja para pemimpin terbaik malahan masyarakat serta generasi yang inteligensia serta bersifat progesif. Seterusnya, wawasan negara dapat dicapai ibarat pucuk dicita, ulam mendatang apabila generasi yang cakna dan bertanggungjawab berjaya dilahirkan.

Related : sekolah menjadi untuk memastikan persekitaran sekolah aspek kebersihan membersihkan kelas sekolah yang bersih