Kepentingan menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia. Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun 2020 ini bertemakan “Malaysia Prihatin”. Tema ini amat bertepatan dengan aspirasi yang didukung kerajaan ini, bahawa seluruh rakyat MALAYSIA, sama ada penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan NGO mahupun orang perseorangan turut bersama-sama memerangi musuh di kala ini iaitu wabak Covid-19. Manakala PRIHATIN menunjukkan inisiatif kerajaan yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan dan kelangsungan rakyat Malaysia.
Berikut dikongsikan dua contoh karangan SPM berkaitan pentingnya sambutan bulan kemerdekaan dan hari Malaysia kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Karangan Kepentingan Menyambut Hari Kemerdekaan
Contoh 1
Hari ulang tahun kemerdekaan negara yang kita sambut setiap tahun mempunyai kebaikan dan kepentingannya yang tersendiri kepada kalangan rakyat Malaysia. Hari tersebut merupakan hari kebesaran negara yang perlu disambut dan dihayati oleh semua rakyat yang cinta akan negara ini. Pelbagai acara dijalankan untuk menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ini seperti mengadakan majlis perarakan atau perbarisan, memasang bendera pada bangunan, kenderaan dan sebagainya. Oleh itu, sambutan hari tersebut hendaklah diteruskan agar generasi muda yang menjadi tonggak negara pada masa hadapan akan mengerti dan menghayati kebaikannya.
Kebaikan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan ini adalah dapat memupuk semangat patriotik atau cinta akan negara. Dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, seseorang itu akan merasai pengalaman itu sendiri dan berasa megah dengan hari kemerdekaan negaranya sendiri. Perkara ini demikian kerana, tak kenal maka tak cinta, iaitu seseorang itu akan menghayati hari kemerdekaan tersebut dengan lebih bermakna melalui penglibatan dan penyertaannya dalam sambutan hari ulang tahun kemerdekaan atau menyaksikan majlis sambutan tersebut secara langsung.
Selain itu, dengan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan, kita dapat memupuk perpaduan kaum. Hal ini demikian kerana, pelbagai kaum yang terdapat di negara kita akan bekerjasama dan berganding bahu dengan melibatkan diri semasa sambutan diadakan. Kita dapat melihat semua kaum, seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dan Bajau turut serta dalam sambutan terebut. Perkara ini tentunya akan menjadi bukti bahawa perpaduan kaum dapat dipupuk dan disuburkan melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
Melalui sambutan hari ulang tahun kemerdekaan juga, kita dapat menghargai dan mengenang jasa pejuang kemerdekaan negara. Kita akan memahami dan menghayati pengorbanan serta perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan negara kita suatu masa dahulu. Mereka sanggup berkorban harta, nyawa dan tenaga iaitu seperti lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain, semata-mata untuk memerdekakan negara kita. Dengan cara itu, sebagai rakyat negara ini, kita akan sedar dan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan negara kita sampai bila-bila.
Intihanya, ulang tahun hari kemerdekaan negara kita perlulah disambut oleh semua rakyat negara ini dengan penuh penghayatan. Oleh itu, kerajaan hendaklah menjalankan kempen melalui media massa untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan sambutan ulang tahun tersebut. Hal ini bersesuaian dengan konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan oleh pucuk pimpinan negara kita pada masa ini yang mementingkan aspek perpaduan kaum. Sekiranya usaha ini tidak dijalankan, sudah pasti rakyat negara kita kurang menyedari kepentingan sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.
Contoh 2
Tanah air kita merupakan salah sebuah negara yang kian pesat membangun di rantau Asia. Pembangunan dari aspek ekonomi, politik dan sosial telah mula bercambah sejak sebelum mencapai kemerdekaan lagi. Segala-galanya bermula daripada pengorbanan para pejuang negara yang sanggup bermati-matian demi mencapai kemerdekaan untuk nusa tercinta. Pengorbanan mereka mestilah dikenang dan dihargai oleh generasi masa ini.
Saban tahun, pihak kerajaan mengeluarkan sejumlah besar wang sebagai persiapan menyambut hari kemerdekaan. Persoalannya, apakah pentingnya sambutan hari kemerdekaan di negara kita?
Salah satu kepentingan menyambut hari kemerdekaan di negara kita ialah kita dapat mengenang jasa tokoh yang telah berkorban demi mencapai kemerdekaan untuk tanah air. Antara tokoh yang begitu berjasa kepada negara ialah Tunku Abdul Rahman, Rosli Dhobi, Rentap, Kanang dan sebagainya. Mereka rela berputih tulang daripada berputih mata melihat tanah air tempat tumpah darah mereka dijajah oleh kuasa asing sepertti British dan Jepun. Mereka juga sanggup menggadai nyawa demi membayar harga sebuah kemerdekaan. Jelaslah di sini bahawa menyambut hari kebangsaan di negara kita adalah penting untuk mengenang jasa tokoh.
Selain itu, menyambut hari kemerdekaan adalah penting agar kita dapat mengukuhkan jati diri rakyat Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, generasi muda masa ini, terutamanya remaja semakin hilang jati diri. Mereka lebih gemar mengagung-agungkan budaya Barat yang amat bertentangan sekali dengan norma masyarakat Timur. Lebih menyedihkan, ada antara kita yang sanggup memburukkan nama Malaysia di mata dunia.
Jika diimbas kembali sejarah yang lepas, rakyat Indonesia telah memburukkan nama Malaysia di negara Asia dan negara Dunia Ketiga lantaran tidak berpuas hati apabila Sabah dan Sarawak menyertai Persekutuan Malaysia pada tahun 1965. Kini, rakyat negara kita pula mencemarkan nama negara di persada dunia. Ke manakah hilangnya jati diri sebagai rakyat Malaysia? Tepuk dada tanya selera. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa menyambut hari kemerdekaan merupakan salah satu medium untuk mengukuhkan jati diri.
Seterusnya melalui sambutan hari kemerdekaan, kita dapat mengekalkan perpaduan antara kaum di negara kita. Umum mengetahui bahawa Melayu, Cina dan India merupakan kaum majoriti di negara kita selain kaum Dusun, Kadazan, Bidayuh, Melanau yang menjadi kaum minoriti. Negara yang harmoni dan sejahtera hanya akan dapat dibentuk jika semua kaum ini dapat bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi. Melalui sambutan hari kemerdekaan, semua kaum dapat berkumpul bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang kita cintai ini. Masyarakat berbilang kaum yang saling menyayangi, saling menghormati dan saling bekerjasama merupakan pemandangan paling indah untuk dipertontonkan kepada masyarakat di luar negara. Jelaslah di sini bahawa sambutan hari kemerdekaan dapat mengekalkan perpaduan antara kaum.
Di samping itu, melalui sambutan hari kemerdekaan, imej negara kita akan turut meningkat. Negara-negara asing akan mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni dan sejahtera, Secara tidak langsung, lebih ramai pelancong asing ingin berkunjung ke negara kita serta lebih ramai pelabur asing ingin melabur di negara kita. Hal ini dapat membantu meningkatkan sumber pendapatan negara sekali gus menjana ekonomi negara.
Konklusinya, sebagai rakyat Malaysia yang amat sayang akan negara, kit perlulah bersungguh-sungguh meraikan hari kemerdekaan di negara. Jadikanlah perang saudara, pergolakan, dan peperangan yang berlaku di sesetengah negara sebagai pengajaran. Tokoh sejarah terkenal, George Santayana pernah berkata, “sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya semula,” Oleh itu, kita sebagai rakyat Malaysia perlulah menghargai nikmat kemerdekaan yang kita kecapi ini.
persekutuan tanah 31 ogos tokoh tokoh