Berikut dikongsikan cara lafaz atau bacaan takbir raya buat panduan umat Islam yang akan menyambut Hari Raya Puasa Aidilfitri. 1 Syawal merupakan tarikh yang istimewa buat umat Islam setelah melaksanakan puasa sebulan Ramadhan. Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.
Takbir hari raya Aidilfitri berbeza dengan takbir hari raya Aidiladha. Takbir hari raya Aidilfitri bermula pada Maghrib malam satu Syawal sehingga selesai solat sunat Aidilfitri. Takbir hari raya Aidiladha pula dilakukan bermula selepas selesai solat Subuh 9 Zulhijjah sehinggalah selesai solat Asar 13 Zulhijjah.
Bacaan Lafaz Takbir Hari Raya
Hari Raya Aidilfitri hendaklah disambut dengan acara-acara yang ditunjukkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah, iaitu:
Membanyakkan Ucapan Takbir
Firman Allah: “Dan sempurnakanlah ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam bulan Ramadhan (29 atau 30 hari), dan bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (AlBaqarah : 185) Sabda Rasullullah s.a.w. pula: “Hiasilah Hari Raya kamu dengan takbir dan tahmid.” Di dalam kitab-kitab Fiqh dijelaskan, takbir hari raya itu terbahagi kepada dua:
- 1. Takbir Mursal: Ia sunat dilafazkan sama ada oleh orang yang bermukim atau musafir, di masjid atau di jalan, dengan cara duduk atau berdiri, di pasar-pasar, di rumah-rumah kediaman dan sebagainya. Waktunya bermula dari ghurub matahari akhir Ramadhan dan berterusan sepanjang malam Hari Raya hingga solat ‘Id didirikan pada esok hari. Demikian juga bagi Takbir ‘Id Al-Adhha (Hari Raya Qurban) sunat dilafazkan sepanjang malam hingga esok harinya ketika solat ‘Id Al-Adhha dilaksanakan.
- 2. Takbir Muqaiyad: Iaitu takbir yang terikat dengan waktu-waktu solat. Jelasnya ia sunat dilafazkan setiap kali selesai solat. Waktunya bermula selepas Subuh hari Arafah (hari ke-9) dan berakhir selepas Asar 13 Zulhijjah.
Waktu Bertakbir. Bila Kita Boleh Bertakbir Untuk Hari Raya?
Terdapat perbezaan waktu bertakbir bagi Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. Kaifiat berikut kita peroleh daripada perbuatan Nabi SAW dan para sahabat, seterusnya diwarisi kepada generasi ulama seterusnya.
i) Hari Raya Aidiladha: waktunya Takbir Muqayyad bagi Hari Raya Aidiladha bermula pada waktu Subuh Hari Arafah dan berterusan sehingga tamat waktu Asar pada Hari Tasyriq yang ketiga.
Ertinya, apabila masuk waktu Subuh 9 Zulhijjah, disunatkan bagi orang yang tidak pergi menunaikan haji untuk bertakbir setiap kali selesai menunaikan solat fardhu sehinggalah waktu Asar 13 Zulhijjah, menjadikan waktu bertakbir itu 5 hari 4 malam.
Adapun bagi mereka yang menunaikan haji, mereka hanya disunatkan untuk bertakbir bermula gelincirnya matahari, yakni masuk waktu Zuhur Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijjah) sehingga terbitnya fajar sadiq, yakni masuk waktu Subuh pada 13 Zulhijjah. Namun sekiranya mereka sudah selesai bertahallul yang kedua, maka mereka boleh bertakbir sehingga waktu Asar, sama seperti orang lain.
ii) Hari Raya Aidilfitri: waktunya Takbir Mursalnya bermula selepas terbenamnya matahari pada malam raya, yakni masuk waktu Maghrib 1 Syawal sehinggalah takbiratulihram bagi solat Hari Raya Aidilfitri.
Waktu takbir Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri adalah berbeza antara satu sama lain. Namun tujuannya adalah sama daripada satu sudut yakni mengagungkan Allah SWT pada hari-hari yang kita digalakkan oleh Syarak untuk merayakannya. Inilah syiar dan simbol agama kita yang hendaklah kita sungguh-sungguh meraikannya sebagai tanda komitmen dan kepatuhan kita kepada Tuhan yang Esa.
SUMBER : MuftiWP
Lafaz Takbir Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha
Takbir Raya Dalam Rumi
Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar
La ilaha illa Allahu wa Allahu akbar,
Allahu akbar walillahi ilham x 3
Allahuakbar kabira walhamdulillahi kathira,
Wa subhanallahi bukrata wa asila
La ilaha illa Allahu wa na’budu illa iayyahu, muhlisina
lahuddin , walau karihal kafirun
La ilaha illa Allah hu wahdahu , sodaqo wa’dahu, wa nasoro
ab’ dahu
Wa a a’zza jundahu wahazamal akhzaba wahdahu
La ilaha illa Allahu Allahu akbar, Allahu akbar walillahi
ilhamdu
Erti Takbir Hari Raya
Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Allah Maha Besar,
Tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Allah dan Allah
Maha Besar,
Allah Maha Besar dan segala puji-pujian hanya layak bagi Allah.
Allah Maha Besar Yang Teramat Besar, Segala Puji bagi Allah Yang
Teramat Banyak,
Maha suci Allah pada waktu pagi dan petang,
Tiada Tuhan melainkan Allah, dan Tidak ada lain yang kami sembah
melainkan Dia,
Kami ikhlas kepadaNya (mengikuti ajaran agama Islam) sekalipun
dibenci oleh orang-orang kafir,
Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Tunggal, Yang Menepati
janjiNya, Yang Menolong hambaNya,
Dan Yang Memuliakan tenteraNya dalam mengalahkan tentera alAhzab
dengan sendiri (KekuasaanNya),
Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah
Maha Besar dan segala puji-pujian hanya bagi Allah.
Kepentingan Bertakbir
Bertakbir dianggap penting sebagai:
- Satu syiar bagi menzahirkan rasa gembira dan tanda bersyukur kepada Allah.
- Tanda kemenangan melawan hawa nafsu mazmumah sepanjang Ramadan.
- Lambang penyatuan dan kekuatan ummah melalui roh takbir, kerana umat Islam, membesarkan Allah dan melaungkan takbir yang sama di seluruh dunia.
- Laungan takbir menyejukkan jiwa, menenangkan fikiran dan melapangkan hati untuk bermaafan.
- Takbir dan tahmid dianggap penyubur ukhuwah dalam mengukuhkan ikatan jalinan persaudaraan umat Islam.
Semoga panduan Lafaz Takbir Hari Raya Aidilfitri Dan Aidiladha ini bermanfaat buat semua.