Panduan terkini dikemaskini pada

Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah (Aktiviti Yang Berfaedah)

Sebelum menulis karangan untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, anda pasti akan memilih tajuk atau tema yang mampu anda berikan huraian yang terbaik. Oleh itu, pelajar digalakkan untuk membaca pelbagai sumber khususnya di atas talian. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh karangan cara-cara memanfaatkan cuti sekolah.

Setiap pelajar pastinya menantikan cuti persekolahan yang memberikan mereka kebebasan daripada norma untuk bangun di pagi hari dan memberikan tumpuan di dalam bilik darjah. Pelajar bukan sahaja dapat melakukan rutin yang berbeza tetapi juga dapat melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik seperti melancong, bersukan bersama rakan-rakan atau menyertai kem motivasi dan sebagainya.

Contoh Karangan Cara Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah

Contoh Karangan Cara-Cara Memanfaatkan Cuti Sekolah

Sekiranya pelajar diberikan pilihan untuk menjawab soalan karangan Bahasa Melayu yang berkaitan dengan cara-cara yang pelajar perlu buat untuk mengisi waktu terluang semasa cuti persekolahan, sila rujuk contoh-contoh beserta isi-isi penting di bawah.

Isi-isi penting

  1. Bekerja sambilan atau berniaga
  2. Menyertai aktiviti sukarelawan
  3. Mengikuti kelas tambahan atau seminar
  4. Melancong bersama keluarga
  5. Menziarahi saudara-mara
  6. Menyertai kem motivasi diri

Pendahuluan

Penghujung tahun merupakan satu tempoh masa yang dinanti-nantikan oleh kita semua. Golongan yang bekerja akan menerima bonus setelah penat mengerah kudrat sepanjang tahun manakala golongan pelajar akan bercuti selepas mengharungi sesi persekolahan. Lazimnya kebanyakan di antara kita akan mengambil kesempatan yang ada untuk pulang ke kampung atau melancong ke tempat-tempat tumpuan pelancong di dalam negara mahupun luar negara. Tetapi sebenarnya banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan oleh para pelajar terutamanya dalam tempoh cuti persekolahan. Bagi mengelakkan golongan muda ini daripada melakukan perkara atau aktiviti yang sia-sia sepanjang cuti persekolahan, wajar untuk kita rungkaikan cara-cara memanfaatkan cuti sekolah untuk pelajar di sekolah rendah, sekolah menengah dan juga institusi pengajian tinggi.

Isi 1

Antara cara memanfaatkan cuti persekolahan pelajar adalah dengan melakukan kerja sambilan atau mulakan sesebuah perniagaan. Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak, peribahasa ini jelas menyatakan jika kita ingin hidup selesa, kita perlu bekerja keras terelebih dahulu. Dalam mendepani jangka masa yang tidak menentu khususnya dalam sektor ekonomi di dalam negara, para pelajar boleh membantu ibu, bapa dan keluarga meringankan bebanan kewangan mereka. Pelajar boleh mencari kerja sambilan di dalam bidang yang diminati ataupun menyertao bidang yang banyak permintaan pekerja seperti rangkaian restoran segera serta kedai-kedai runcit. Ia dapat memberikan pengalaman yang berguna kepada pelajar dalam aspek keusahawanan dan juga pengurusan kewangan. Selain itu, pelajar juga dapat mengetahui suasana apabila mereka melangkah ke alam pekerjaan setelah tamat pengajian nanti. Intihannya, bekerja sambilan semasa cuti persekolahan dapat memberi manfaat kepada pelajar.

Isi 2

Dalam masa yang sama, para pelajar juga boleh menyertai aktiviti sukarelawan dan kebajikan untuk memanfaatkan cuti persekolahan. Aktiviti ini walaupun tidak memberikan bayaran kepada pelajar tetapi ia membentuk nilai murni dalam diri masing-masing. Hal ini kerana dengan menyertai aktiviti sukarelawan, mereka terdedah kepada sifat simpati dan empati terhadap tugasan yang diberikan serta perlu bekerjasama dengan rakan sepasukan yang lain. Sebagai contoh, apabila mereka bergotong-royong membersihkan kawasan yang dilanda banjir, mereka dapat melihat sendiri kerosakan dan kerugian yang perlu ditanggung oleh mangsa. Secara tidak langsung ia membuka mata dan minda mereka untuk menjadi insan yang lebih baik dan berusaha memastikan bencana yang berlaku kepada mangsa banjir tersebut tidak berulang. Bak kata pepatah, hancur badan dikandung tanah, budi baik dikenang juga. Izharnya, penyertaan dalam aktiviti sukarelawan dan kebajikan memberikan pelbagai faedah.

Isi 3

Bagi para pelajar yang bakal menduduki peperiksan awam khususnya mereka yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seharusnya memanfaatkan cuti sekolah dengan mengikuti kelas tambahan atau seminar. Ramai diantara guru juga akan menggunakan kesempatan ini untuk menganjurkan seminar atau tuisyen kepada calon-calon peperiksaan. Sekiranya pelajar ingin mendapat keputusan yang cemerlang, tidak salah untuk anda meluangkan masa lapang di luar waktu persekolahan ini demi menambah kefahaman serta mempelajari teknik yang baharu. Persis kata peribahasa, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kalau dibandingkan dengan proses pembelajaran di dalam kelas yang mempunyai 20 hingga 30 orang, kelas tuisyen membolehkan pelajar fokus bersama guru kerana jumlah pelajar yang tidak ramai. Tegasnya, para pelajar boleh memanfaatkan waktu cuti sekolah dengan menghadiri kelas tambahan atau seminar sebelum menghadapi peperiksaan.

Isi 4

Akhir sekali, cara untuk memanfaatkan cuti sekolah tentunya dengan melancong bersama-sama ahli keluarga atau rakan-rakan. Kesihatan mental merupakan salah satu aspek utama yang perlu dipelihara terutamanya dalam kalangan pelajar di sekolah. Oleh itu, sebaiknya mereka menggunakan masa lapang ini untuk beristirehat daripada sebarang aktiviti berkaitan akademik dan melancong ke tempat-tempat pelancongan. Kesempatan ini wajar digunakan oleh ibu dan bapa untuk merapatkan hubungan antara ahli keluarga serta melepaskan stress dengan melawat kawasan-kawasan pelancongan seperti ke pulau peranginan atau taman-taman tema. Jauh perjalanan, luas pemandangan. Anak-anak dapat merehatkan minda di samping merasai pengalaman baharu apabila melancong ke luar daripada kawasan perumahan mereka. Jelas bahawa melancong merupakan antara cara memanfaatkan cuti sekolah para pelajar.

Penutup

Secara tuntas, terdapat banyak cara untuk memanfaatkan cuti sekolah dalam kalangan pelajar. Cuti bukan bermaksud pelajar berhenti daripada membuat apa-apa, sebaliknya cuti sekolah memberikan masa untuk pelajar menambah kemahiran baharu untuk kebaikan diri dan masa hadapan. Hiburan seperti menonton kandungan di internet atau bermain permainan video boleh dilakukan tetapi perlu dihadkan masanya supaya pelajar tidak mensia-siakan masa. Waktu itu emas. Ungkapan yang cukup dikenali ini memberi makna yang besar untuk pelajar menetukan bagaimana anda memanfaatkan setiap masa yang diberikan kepada anda. Diharapkan dengan perkongsian ini mampu membuka mata setiap ahli masyarakat dan memainkan peranan masing-masing agar anak-anak muda di dalam negara ini memanfaatkan cuti sekolah mereka dengan perkara atau aktiviti yang sihat serta berfaedah.

Related : semasa cuti sekolah, untuk mengajar, pelbagai aktiviti, kem ibadah, untuk menghasilkan, membaca buku,