Puasa sunat Bulan Muharram, bulan pertama dalam Kalendar Islam. Berikut disertakan bila tarikh dan Niat Puasa Hari Tasu’a Dan Asyura 9 dan 10 Muharram 1443H (tahun 2021) sebagai panduan kepada umat Islam semua.
Puasa, selain merupakan ibadah yang mulia di sisi Allah SWT, juga mengandungi banyak manfaat yang lain. Dengan berpuasa seseorang dapat mengendalikan syahwat dan hawa nafsunya. Dan puasa juga menjadi perisai dari api neraka. Puasa juga dapat menghapus dosa-dosa dan memberi syafaat di hari kiamat.
Cara Lafaz Niat Puasa Hari Asyura Dan Tasu’a 9 & 10 Bulan Muharram
Galakan berpuasa Asyura disebut melalui hadis Nabi Muhammad SAW. Aisyah r.a berkata yang bermaksud: “Rasulullah SAW telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari asyura, dan apabila difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).
Tarikh Penting Puasa 2021/ 1443H
Berikut adalah tarikh berpuasa hari Tasu’a dan Hari Asyura tahun 2021 :-
Rabu: 18 Ogos 2021
- Puasa Sunat 9 Muharam (Tasu’a)
Khamis : 19 Ogos 2021
- Puasa Sunat 10 Muharram (Asyura)
Jumaat : 20 Ogos 2021
- Puasa Sunat 11 Muharram
Niat Puasa Asyura & Tasua
Berikut adalah niat puasa sunat dalam bulan Muharram.
A. Niat puasa Hari Kesembilan Muharam (Hari Tasu’a)
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ التَاسُوْعَاء لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu shauma ghadin ‘an ada’i sunnati Tasua lillahi taala
Maksud : Sahaja aku berniat puasa sunat Tasu’a esok hari kerana Allah Ta’ala
B. Niat puasa Hari Kesepuluh Muharam (Hari Asyura)
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ سُنَّةِ عَاشُوْرَاء لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu shauma ghadin ‘an ada’i sunnati Asyura lillahi taala
Maksud : Sahaja aku berniat puasa sunat asyura esok hari kerana Allah Taala
Fadhilat Puasa Asyura
Terdapat banyak kelebihan dan fadilat pada 10 Muharram berdasarkan nas dan hadis yang sahih.
Kata Ibn Abbas apabila ditanyakan mengenai puasa ‘Asyura, beliau berkata:
Maksudnya: Aku tidak pernah melihat Rasulullah mengejar satu hari yang fadhilatnya lebih berbanding hari lain melainkan hari ini – iaitu hari ‘Asyura. [HR Bukhari 2006]
Bagi mereka yang mencari keampunan Allah maka ganjaran yang dijanjikan ialah diampunkan dosa setahun yang lalu. Dari Abu Qatadah: Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah tentang puasa ‘Asyura, maka kata Baginda:
Maksudnya: Aku berharap ke atas Allah agar ia dapat mengampunkan dosa setahun yang berlalu. [HR Muslim 1162]
Terbuktilah bahawa amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ atau 10 Muharram merupakan sunnah Nabi. SUMBER
Huraian Hadith
Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a katanya: Rasulullah SAW. bersabda, maksudnya:
“Berpuasalah kamu pada hari `Asyura’ dan buatlah perbezaan padanya (dari) orang Yahudi (dengan) berpuasa sehari sebelumnya atau sehari selepasnya.”
Para ulama menyebutkan bahawa hikmat disunatkan berpuasa pada hari Tasu`a’ (sembilan Muharram) itu adalah untuk :
- i. Menyalahi atau membezakan amalan orang-orang Yahudi yang hanya berpuasa pada hari `Asyura’ (sepuluh Muharram) sahaja.
- ii. Bagi maksud berhati-hati berpuasa pada hari `Asyura’ kerana kemungkinan berlaku kesilapan kekurangan dalam pengiraan anak bulan. Maka dengan itu hari kesembilan Muharram itu dalam pengiraan adalah hari yang kesepuluh Muharram yang sebenarnya.
- iii. Bagi maksud menyambung puasa hari `Asyura’ dengan satu hari puasa yang lain kerana tegahan Rasulullah Shallallahu `alaihi wasallam berpuasa satu hari satu-satunya sahaja seperti berpuasa pada hari Jumaat. Walaupun begitu, tidaklah menjadi apa-apa jika hanya berpuasa sehari sahaja pada hari `Asyura’. (lihat I`anah Ath-Thalibin 2/301) Oleh kerana itu disunatkan juga, jika berpuasa pada hari `Asyura’ tanpa berpuasa pada hari Tasu`a’, supaya berpuasa pada hari kesebelas Muharram. Bahkan Imam Syafi`e Rahimahullahu Ta`ala menyebutkan di dalam Kitab Al-Umm dan Al-Imla’ disunatkan berpuasa tiga hari tersebut iaitu hari kesembilan (Tasu`a’), kesepuluh (`Asyura’) dan kesebelas bulan Muharram.
Selamat berpuasa sunat Hari Asyura dan Hari Tasu’a di Bulan Muharram. Semoga amalan kita diterima oleh Allah SWT.
Rel : puasa tasua dan asyura, tahun baru islam, salah satu, keutamaan puasa, bacaan niat puasa, menghapuskan dosa setahun, puasa di bulan muharram, menjalankan puasa, niat puasa tasu’a,