Apakah Tanggungjawab Seorang Guru Pendidik. Seorang guru adalah pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas. Sekali gus, guru juga bertugas membabitkan murid dan pelajar di sesebuah sekolah. Guru juga bertanggungjawab terhadap masalah disiplin, kedatangan, kelakuan dan budi pekerti pelajar. Jelasnya, guru adalah orang terpenting di setiap sekolah.
Guru pendidik yang mendidik akal budi murid dan pelajarnya adalah pendidik yang memahami tugasnya sebagai guru. Mendidik akal budi menjurus kepada kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akhlak serta budi pekerti pelajar itu sendiri.
Apakah Tanggungjawab Seorang Guru/ Cikgu/ Pendidik
Peranan dan tanggungjawab guru dalam membina negara bangsa berlandaskan Etika Profesion Keguruan. Profesion perguruan adalah satu profesion yang sangat mulia dan amat penting dalam proses pembangunan manusia, masyarakat dan negara. Di zaman teknologi yang serba maju dan canggih ini, peranan dan tanggungjawab guru semakin mencabar. Guru memainkan peranan penting untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat serta hubungannya dengan Tuhan. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai-nilai murni seperti saling hormat menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama kerana guru yang baik adalah seorang guru yang mempunyai sahsiah yang baik juga ialah guru yang mengamalkan etika keguruan yang standard.
Tanggungjawab utama yang digalas oleh guru tertumpu kepada tiga perkara yang menumpukan kepada kekuatan dalaman yang utama iaitu dari aspek agama, nilai dan etika. Pembinaan kekuatan dalaman ini mudah dilaksanakan jika guru menjalankan tugasnya sebagai ibadah dengan matlamat membangunkan INSAN. Guru berperanan dan bertanggungjawab dalam membina Negara berlandaskan etika. Dimana etika menurut dewan Bahasa dan Pustaka etika membawa maksud Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan.Manakala etika dalam kamus Oxford bermaksud prinsip moral atau set prinsip moral. Secara umumnya tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
Dari perspektif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah dan juga ketakwaan pada Allah. Guru bertanggungjawab mematuhi etika profesional dan mempraktikan semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti,produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai serta tingkah laku profesion dalam masyarakat. Etika profesional mencakupi sebahagian besar ahli professional kecuali hal-yang benar-benar peribadi seperti mencuci kereta dan menanam bunga.
Dalam islam, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya. Selain etika professional guru juga perlu memahami etika perguruan dimana :-
- 1. Etika perguruan membawa maksud satu set tingkah laku atau tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan Negara,pelajar,rakan sejawat dan ibu bapa pelajar. Guru juga perlu memiliki kod etikanya sendiri demi memartabatkan profesion perguruan. Kod etika dianggap penting kerana Kod etika menyediakan garis panduan bagaimana tingkah laku dalam profesion perguruan.Kod etika perguruan menyatakan dengan jelas tentang tanggungjawab guru terhadap pemegang amanah dalam bidang pendidikan.
Perkara-perkara yang terkandung di dalam Etika Profesion Keguruan ialah :-
Tanggungjawab terhadap pelajar
Bagi memenuhi tanggungjawab terhadap pelajar guru mesti bersikap adil terhadap pelajar tanpa mengira faktor keturunan,agama, politik, dan lain-lain. Guru perlu lebih mengutamakan kebajikan pelajar daripada hal-hal lain dan membimbing pelajar di bilik darjah tanpa mengambil bayaran. Di samping itu, guru mesti menunjukkan contoh berpakaian , pertuturan dan tingkah laku yang dapat dijadikan contoh oleh pelajar. Selain daripada itu guru hendaklah memelihara dan meningkatkan kecekapan ikhtisas melalui pengajian, penyelidikan, lawatan dan menghadiri kursus ikhtisas, persidangan, mesyuarat atau seminar supaya proses pengajaran mencapaimutu yang setinggi-tingginya.
Tanggungjawab terhadap ibubapa
Guru perlu memenuhi tanggungjawab terhadap ibubapa dengan menghormatitanggungjawab utama ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Sentiasalah berusaha untuk mewujudkan hubungan mesra dan kerjasama yang erat di antara institusi pendidikan dengan rumah tangga. Di samping itu, guru mestilah sentiasa menganggap maklumat yang diberi oleh ibubapa berkaitan rumahtangga mereka sebagai sulit dan tidak membocorkan rahsia kecuali kepada orang yang berkenaan. Sekiranya diminta,guru akan memberikan maklumat berkenaan pelajar kepada ibubapa mereka. Akhir sekali, sepatutnya mencuba sedaya upaya untuk mengelak daripada dipengaruhi olehkedudukan ekonomi dan sosial ibubapa pelajar dalam membuat sebarang keputusan.
Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara
Guru perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara dengan tidak menyebarkan ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau negara, ataupun yang bertentangan dengan Rukun Negara. Guru juga hendaklah sering memupuk sikap dan nilai dalam diri setiap pelajar yang dapat membimbing mereka menjadi warganegara yang setia,bertanggungjawab, menghormati orang lebih tua dan perbezaan kebudayaan,keturunan dan agama. Di samping itu, hormatilah masyarakat tempat kita berkhidmat dan memenuhi tanggungjawab sebagai ahli masyarakat. Seterusnya, kita juga perlu menggalakkan kerjasama di antara guru dengan ibubapa dan masyarakat, serta mengamalkan tingkah laku sopan yang diterima oleh masyarakat.
Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan
Sebagai seorang yang bertanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion perguruan, kita perlu mengelakkan diri daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh mencemarkan nama seorang guru lain di hadapan pelajar atau ibubapa, atau berbuat sesuatu yang boleh menjatuhkan martabat seorang guru. Guru juga tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang menjejaskan kecekapannya sebagai guru ,contohnya berniaga di waktu perskolahan. Di samping itu kita juga berusaha untuk menunaikan tanggungjawab dengan rajin dan bersungguh-sungguh sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan sosial. Seterusnya kita perlu sentiasa bersedia untuk membantu rakan sejawat terutamanya mereka yang baru menjadi seorang guru. Akhir sekali, kita perlu menjadi ahli bagi sebuah perubahan guru. Misi utama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) adalah untuk membangunkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara Malaysia.
Sebenarnya,peranan guru dalam membina Negara Bangsa Malaysia bermula semenjak sebelum Merdeka lagi sehinggalah negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Peranan guru dalam membina Negara Bangsa Malaysia tidak terhenti semasa negara mencapai Kemerdekaan malahan ia berterusan menjadi sangat penting sehingga kehari ini.
Kualiti yang kita harapkan daripada guru-guru ini pastinya tidak terhad kepada kualiti akademik semata-mata. Guru yang berkualiti harus bijak mengadunkan ilmu dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan jelas kepada pelajarnya. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti internet, gambar berkesan dan penyampaian menarik akan menjadikan seseorang guru itu diminati dan disanjung tinggi.
Pengajaran adalah apa yang disampaikan oleh guru, manakala pembelajaran apa yang diterima oleh murid dan pelajarnya. Jika pengajaran tidak berkesan, murid atau pelajar tidak akan menerima pembelajaran yang baik dan berkesan. Kini, segulung ijazah, atau diploma yang dimiliki oleh guru mesti dilengkapkan dengan ilmu pendidikan dan pengalaman mengajar yang meluas.
Ilmu yang diperoleh itu perlu diberikan tambah nilai dari semasa ke semasa. Kaedah P&P yang dipelajarinya hari ini mungkin sudah tidak relevan lagi dua atau tiga tahun akan datang. Oleh itu, melalui pembacaan, kursus dan juga perbincangan antara guru akan dapat meningkatkan P&P di sesebuah sekolah.
Bagaimanapun tugas dan peranan utama guru untuk mendidik anak bangsa yang berilmu pengetahuan, berbudi pekerti, bersemangat waja serta mampu bersaing harus dikekalkan sampai bila-bila. Perubahan masa hanya menukarkan kaedah pelaksanaannya, tetapi tidak kepada peranan hakiki guru.
Guru berkualiti juga harus bijak menangani konflik dan tekanan sepanjang kerjayanya serta dalam masa sama memenuhi sedaya mungkin harapan masyarakat yang mahukan mereka menghasilkan generasi boleh diharap meneruskan kecemerlangan negara. Guru juga mesti mampu membimbing murid dan pelajar ke arah kecemerlangan akal dan budi.
Sebagai guru berkualiti, mereka juga seharusnya tidak tunduk dengan desakan dan tekanan serta keghairahan masyarakat kini yang begitu tergoda dengan pencapaian akademik, sedangkan nilai-nilai murni anak-anak ini semakin hari semakin nipis.
Keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan akhlak mestilah ditumpukan dalam P&P di dalam kelas dan sekolah.
Konflik keyakinan masyarakat terhadap mutu guru dan sistem persekolahan juga memerlukan guru berkualiti untuk menanganinya secara bijak. Bagaimanapun, guru tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memikul tanggungjawab berat ini.
Pembentukan sesebuah generasi dalam sesebuah negara adalah tanggungjawab individu itu sendiri dan juga masyarakat secara keseluruhan. Pada masa kini, ahli masyarakat seakan membiarkan guru sahaja atasi permasalahan ini.
Sebagai ahli masyarakat, iaitu ibu bapa kepada murid dan pelajar, kita harus memberi sokongan padu kepada guru dari segi kebendaan, ganjaran terhadap guru perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya setimpal dengan peranan dan tugas mereka. Dari segi bukan kebendaan pula, menghargai jasa dan pengorbanan guru adalah sumbangan yang perlu diberikan oleh semua orang.
Kita mempunyai ramai guru yang bukan sahaja berkualiti intelek dan ilmunya, tetapi juga berkualiti daripada segi rohaninya. Guru yang sudah lama mengajar mestilah mempunyai pengalaman luas yang seharusnya dipelajari dan diteladani oleh guru-guru baru. Sebab itu, guru akan berusaha memastikan anak muridnya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran. Contoh dan teladan daripada guru berkaitan akhlak dan rohani akan menjadi ikutan murid dan pelajarnya.
Nama pun “cikgu”, mereka tidak akan puas jika anak muridnya tidak memahami apa yang diajar. Panggilan keramat ini amat sesuai dipadankan dengan tugasnya yang mencabar. Guru adalah arkitek bangsa yang berjasa. Panggilan ini akan kekal sepanjang hayat, mati pun masih dipanggil “cikgu”.
Jika ditinjau, apabila ada waktu terluang, seorang guru, tanpa mengira duit akan mengadakan kelas tambahan. Kegiatan kokurikulum sebenarnya banyak mengambil masa dan wang ringgit, sebab sudah menjadi tanggungjawab, hal ini jarang dirungutkan oleh guru. Bagai lilin yang menyala, dan kemudian membakar dirinya, guru tetap bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat berilmu.